Limbang sarang penyeludupan manusia
| |
| MARY mengesat air mata sambil menceritakan pengalaman menakutkan dipaksa menjadi pelacur. |
JAKARTA 23 April - Pihak berkuasa Indonesia mendedahkan kawasan Limbang yang terletak di utara Sarawak kini menjadi sarang penyeludupan manusia khususnya dari Indonesia.
Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia, Kementerian Luar Negeri Indonesia, Teguh Wardoyo berkata, perkara itu terbongkar apabila Polis Republik Indonesia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamat seorang gadis berusia 16 tahun yang diseludup ke kawasan berkenaan.
"Gadis berkenaan diselamatkan selepas selama lima bulan dipaksa menjadi pelacur di Limbang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Pada mulanya, kata beliau, seorang lelaki datang ke kampung gadis berkenaan di Indramayu di Pulau Jawa dan menawarkan pekerjaan di restoran dengan gaji yang lumayan sehingga RM5,000 sebulan.
Tertarik dengan gaji yang lumayan, katanya, keluarga gadis berkenaan membenarkan dia dibawa ke Limbang walaupun usianya baru 16 tahun.
Bagi membolehkan gadis itu bekerja, jelas Teguh, sindiket berkenaan telah memalsukan kad pengenalan gadis terbabit yang dikenali sebagai Mary.
"Pada kad pengenalan palsu itu tertera Mary, tiga tahun lebih tua daripada usia sebenarnya," katanya.
Sementara itu, Mary ketika ditemui berkata, sebaik tiba di Limbang dia dipaksa bekerja di sebuah kelab malam dan dipaksa menjadi pelacur.
"Setelah menyedari saya ditipu, saya menghubungi keluarga di Indramayu, yang kemudiannya melaporkannya kepada polis," katanya.
Menurut Mary, sepanjang lima bulan di Limbang pengalaman cukup menakutkan kerana dia bersama kira-kira 10 orang lain yang juga rakyat Indonesia dikawal ketat oleh para pekerja sindiket tersebut.
"Saya dipaksa melayan pelanggan, jika enggan berbuat demikian saya akan dipukul. Oleh kerana tidak tahan saya melarikan diri dan mendapat bantuan daripada masyarakat setempat.
"Saya bersembunyi di sana sehingga diselamatkan oleh polis," katanya. - Utusan
Tiga wanita Vietnam diselamatkan
| |
| Rasidah Ismail (kanan), bertanyakan sesuatu kepada wanita warga Vietnam yang dijadikan mangsa kes pemerdagangan manusia di Putrajaya, semalam. |
PUTRAJAYA 23 April - Tindakan nekad tiga wanita warga Vietnam mendapatkan bantuan seorang pemandu teksi supaya membawa mereka ke Ibu Pejabat Imigresen di sini semalam, berjaya membongkar satu sindiket kegiatan pemerdagangan manusia.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, James Musa Singa berkata, ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun itu melaporkan diperangkap oleh satu sindiket yang memaksa mereka melacur.
Susulan laporan itu, kata beliau, pihaknya menyerbu sebuah rumah murah dan kondominium di sekitar Cheras sebelum menahan tiga suspek iaitu dua wanita warga Vietnam berumur 20 dan 28 tahun serta seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.
"Kira-kira pukul 3.30 petang semalam, kami didatangi tiga mangsa terbabit yang mendakwa mereka pada mulanya dijanjikan kerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke tetapi kemudian dipaksa menjadi pelacur.
"Kami tidak menolak sindiket ini ada kaitan dengan satu sindiket lebih besar di peringkat antarabangsa. Kesemua suspek akan didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM150,000," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Rasidah Ismail.
James berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menyelamatkan 13 orang mangsa yang diperdaya dalam kes pemerdagangan manusia, kebanyakannya berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
"Seramai 11 suspek masing-masing lapan rakyat tempatan, dua Vietnam dan seorang warga Singapura berjaya ditahan. Semua kes masih dalam siasatan," katanya.
17 kes jenayah, 43 tangkapan libatkan pelajar asing 2009
KUALA LUMPUR 3 Mei – Sebanyak 17 kes jenayah dan 43 tangkapan melibatkan penuntut asing dicatat di negara ini sepanjang tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula terdapat 14 kes yang melibatkan 22 tangkapan.
"Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan indeks jenayah pada tahun lepas yang berjumlah 209,417 itu, kes yang melibatkan pelajar asing adalah sebanyak 0.008 peratus sahaja. Manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, jumlah indeks jenayah adalah 45,805 kes dengan 0.03 peratus melibatkan pelajar asing,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah statistik kes jenayah di negara ini yang melibatkan penuntut antarabangsa dan apakah tindakan kerajaan terhadap penuntut yang terlibat.
Abu Seman berkata, polis sentiasa melakukan pemantauan terhadap penuntut asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen. – Bernama
