Tuesday, April 13, 2010

JUMLAH PEKERJA ASING MENINGKAT 1.8 JUTA ORANG!

BERITA UTAMA - UTUSAN MALAYSIA 14 April 2010 / 29 Rabiul Akhir 1431

Had pekerja asing kepada 1.5 juta

PUTRAJAYA 13 April – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing ketika ini didapati meningkat kepada 1.8 juta orang ekoran pemulihan sektor industri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini. Terdahulu, kedua-dua menteri itu mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan pada 23 Mac lalu.


Makmal tersebut melibatkan 14 kementerian, 11 agensi dan kira-kira 30 organisasi majikan serta pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing.


Berdasarkan statistik, daripada 1.8 juta pekerja asing di negara ini, jumlah tertinggi adalah dari Indonesia (50.9 peratus) diikuti Bangladesh (17.4 peratus), Nepal (9.7 peratus), Myanmar (7.8 peratus), India (6.3 peratus) dan Vietnam (4.2 peratus).


Sebanyak 39 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan (19 peratus), perladangan (14 peratus), pembantu rumah (12 peratus), perkhidmatan (10 peratus) dan pertanian (sembilan peratus)



1.92j pekerja asing yang sah setakat 31 Disember 2009

03/05/2010 2:53pm

KUALA LUMPUR 3 Mei – Lebih 1.92 juta pekerja asing yang sah berada di negara ini sehingga 31 Disember tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah yang direkod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata, daripada 1,918,146 pekerja asing itu, Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang, diikuti Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).

Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir. Zamri Yusuf mengenai statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing berpermit ke negara ini pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan PATI kerana kemasukan golongan itu adalah tidak sah dan tidak direkod oleh mana-mana agensi.

"Bagaimanapun kerajaan menganggarkan pada masa ini terdapat seramai 1.9 juta pendatang tanpa izin iaitu berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah terdapat seorang pendatang tanpa izin,” katanya. – Bernama


No comments:

Post a Comment