Warga asing bolot tapak pasar
PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.
“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.
Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.
“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.
“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
03/05/2010 Utusan
Penempatan baru pendatang asing diserbu
KUALA LUMPUR 2 Mei - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lari daripada serbuan pihak berkuasa telah membina penempatan baru di atas bukit berhampiran tapak pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta di sini.
Mereka yang dikatakan terdiri daripada 40 orang warga Indonesia dan Bangladesh dipercayai membina penempatan baru itu setelah tempat persembunyian mereka di kawasan hutan Bukit Segambut diserbu pada 11 Mac lalu.
Polis yang meneruskan usaha memburu pendatang asing terbabit menemui sejumlah 20 buah khemah kanvas yang dibina di kawasan tapak pembinaan Istana Negara itu awal pagi semalam.
Dipercayai kumpulan pendatang asing itu sudah mula menduduki kawasan penempatan haram tersebut sejak lebih sebulan lalu.
Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, kesemua PATI terbabit bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan istana baru di bawah bukit di kawasan itu.
Bertindak daripada maklumat tersebut, polis menyerbu kawasan penempatan pendatang asing itu kira-kira pukul 3 pagi semalam.
"Serbuan dilakukan oleh 31 anggota polis dari Balai Polis Travers ketika penghuni penempatan terbabit sedang nyenyak tidur.
"Bagaimanapun, kehadiran polis berjaya dihidu oleh mereka menyebabkan ramai yang sempat melarikan diri," kata sumber itu.
Beliau memberitahu, hanya 13 PATI iaitu tujuh warga Indonesia dan enam Bangladesh berjaya diberkas.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan 30-an didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurut sumber itu, PATI terbabit hanya menjadikan khemah-khemah itu sebagai tempat tidur pada waktu malam dan keluar bekerja pada waktu siang.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Warga asing galak berniaga
2010/05/03 metro
SEBAGAI rakyat Malaysia, saya terpanggil untuk memaklumkan mengenai kegiatan warga asing membuka perniagaan menjual barangan runcit secara haram di Segambut Dalam.
Sudah pasti peniaga haram yang mendirikan kedai di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas di Jalan Segambut Dalam itu tidak membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti diwajibkan kepada rakyat Malaysia.
Selain itu juga apa yang saya perhatikan pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan Rela ada menjalankan operasi terhadap warga asing di Segambut Dalam, tetapi yang menimbulkan tanda tanya setiap kali operasi diadakan keadaan di Segambut Dalam sunyi tanpa rakyat asing seolah-olah mereka sudah dimaklumkan mengenai operasi berkenaan.
Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan, kami penduduk di Segambut Dalam berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga haram warga asing di kawasan itu dengan segera.
No comments:
Post a Comment