Monday, May 24, 2010
Thursday, May 20, 2010
MASALAH KEBANJIRAN PEKERJA ASING
PADA satu segi, kebanjiran pekerja asing di negara ini melegakan banyak pihak khususnya para majikan. Kehadiran mereka menjadikan keperluan guna tenaga mudah diisi, apa lagi kos yang ditanggung majikan sangat munasabah.
Namun kebergantungan kepada pekerja asing pada tahap yang keterlaluan adalah sesuatu yang tidak baik.
Saiz pekerja asing yang besar bermakna pengaliran keluar wang sudah pasti deras. Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial dan budaya ke atas corak yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat tempatan.
Sektor-sektor tertentu seperti pembuatan perlu bergerak lebih pantas ke arah pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh dengan peningkatan teknologi sebagai ganti.
Bagi Awang, kemasukan pekerja asing ke negara kita perlu dirasionalkan berdasarkan keperluan yang kritikal bagi sektor tertentu kerana kekurangan pekerja tempatan yang layak. Kemasukan pegawai perubatan sebagai contoh adalah keperluan. Begitu juga para profesional lain dalam beberapa sektor yang kita anggap kritikal.
Justeru rancangan kerajaan untuk menaikkan kadar levi pekerja asing mengikut sektor amat wajar dalam konteks untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
Yang pasti, kita lebih memerlukan tenaga kerja asing yang berkualiti, berkelayakan dan berkemahiran bagi sektor-sektor yang keperluannya mendesak sahaja.
Friday, May 7, 2010
Warga asing bikin onar
asmah@hmetro.com.my
2010/05/07
PETALING JAYA: Lambakan warga asing di kawasan perumahan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, bukan saja mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk, tetapi turut mencemarkan suasana.
Ketua keselamatan blok, Najmuddin Omar, berkata pihaknya sudah berusaha untuk menangani masalah terbabit bagi memastikan warga asing itu berpindah namun usaha berkenaan hanya sia-sia.
“Sebelum ini, kami sudah bermesyuarat bersama persatuan penduduk bagi membincangkan masalah ini sebelum berlaku kejadian tidak diingini.
“Namun, usaha kami ternyata tidak berhasil ekoran sikap ahli jawatankuasa sendiri yang mengambil mudah masalah ini, tambahan pula, ia tidak berlaku di semua blok,” katanya.
Najmuddin berkata, kehadiran warga asing di situ turut menjejaskan tahap kebersihan blok berikutan perbuatan mereka yang suka membuang sampah di atas tangga yang menjadi laluan penghuni.
“Saya bukan mahu menuduh, tetapi sejak pertambahan warga asing di blok kami, kejadian jenayah semakin berleluasa termasuklah kes pecah rumah dan curi kenderaan.
“Bahkan, tahap kebersihan blok juga semakin kritikal ekoran tindakan mereka yang membuang sampah di tangga tanpa mempedulikan arahan yang dikeluarkan ketua blok,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Nik Abdullah Nik Man, 41, berkata dia bimbang kehadiran pendatang asing yang kian bertambah saban hari mengancam keselamatan penduduk pangsapuri terbabit.
“Sebelum ini, jumlah pendatang asing yang tinggal di kawasan pangsapuri ini hanya sedikit berbanding sekarang ia bertambah secara mendadak malah, datang dari pelbagai negara.
“Kami tidak menghalang mereka untuk menyewa, tetapi sikap kurang sopan dan tidak menghormati budaya masyarakat tempatan mengundang perasaan tidak selesa kepada kami,” katanya.
Nik Abdullah turut mendakwa pendatang asing berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan sering bergerak secara berkumpulan sama ada melepak di kawasan tempat duduk yang disediakan atau merayau di kawasan sekitar.
Bukan itu saja, katanya, terdapat sesetengah daripada mereka yang mengambil minuman keras dan mencampakkan botol arak ke tingkat bawah melalui tingkap.