Monday, May 24, 2010


BISIK-BISIK AWANG SELAMAT


Sebanyak 10 daripada 41 penjara di negara kita sesak. Penjara-penjara terlibat termasuk dua di Sabah (Sandakan dan Kota Kinabalu), Marang, Pengkalan Chepa, Tapah dan Kluang terpaksa menampung lagi 10 peratus banduan melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Menurut Jabatan Penjara, pada masa ini sebanyak 38,214 banduan ditahan di 41 penjara seluruh negara dan kira-kira 12,000 orang atau 32 peratus daripada mereka yang menjalani hukuman terbabit adalah rakyat asing termasuk pendatang tanpa izin (PATI).

Bagi menampung keperluan, beberapa langkah dirancang termasuklah pembinaan penjara baru. Penjara hospital juga dirancang bagi menempatkan banduan yang menghidap penyakit serius.

Setahu Awang, kos untuk menampung banduan yang terpaksa ditanggung juga naik seiring dengan jumlah penghuni penjara. Tugas warga penjara sudah pasti meningkat sama.

Dan, berdasarkan statistik penghuni penjara yang dihebahkan itu, elemen warga asing adalah faktor yang menyumbang kepada kesesakan itu. Lebih teruk lagi antara pesalah warga asing terbabit terdiri daripada PATI.

Mereka bukan setakat masuk secara tidak sah ke negara kita dan mungkin pula 'mencuri' rezeki di bumi bertuah ini tetapi juga melakukan onar.

Justeru penyekatan orang asing untuk membolos masuk sempadan negara atas apa juga kapasiti perlu diperhebatkan kerana ia adalah permulaan pencerobohan undang-undang negara. Destinasi mereka mungkin berakhir di penjara kita.


No comments:

Post a Comment