MASALAH KEBANJIRAN PEKERJA ASING
PADA satu segi, kebanjiran pekerja asing di negara ini melegakan banyak pihak khususnya para majikan. Kehadiran mereka menjadikan keperluan guna tenaga mudah diisi, apa lagi kos yang ditanggung majikan sangat munasabah.
Namun kebergantungan kepada pekerja asing pada tahap yang keterlaluan adalah sesuatu yang tidak baik.
Saiz pekerja asing yang besar bermakna pengaliran keluar wang sudah pasti deras. Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial dan budaya ke atas corak yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat tempatan.
Sektor-sektor tertentu seperti pembuatan perlu bergerak lebih pantas ke arah pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh dengan peningkatan teknologi sebagai ganti.
Bagi Awang, kemasukan pekerja asing ke negara kita perlu dirasionalkan berdasarkan keperluan yang kritikal bagi sektor tertentu kerana kekurangan pekerja tempatan yang layak. Kemasukan pegawai perubatan sebagai contoh adalah keperluan. Begitu juga para profesional lain dalam beberapa sektor yang kita anggap kritikal.
Justeru rancangan kerajaan untuk menaikkan kadar levi pekerja asing mengikut sektor amat wajar dalam konteks untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
Yang pasti, kita lebih memerlukan tenaga kerja asing yang berkualiti, berkelayakan dan berkemahiran bagi sektor-sektor yang keperluannya mendesak sahaja.
No comments:
Post a Comment