Monday, May 24, 2010
Thursday, May 20, 2010
MASALAH KEBANJIRAN PEKERJA ASING
PADA satu segi, kebanjiran pekerja asing di negara ini melegakan banyak pihak khususnya para majikan. Kehadiran mereka menjadikan keperluan guna tenaga mudah diisi, apa lagi kos yang ditanggung majikan sangat munasabah.
Namun kebergantungan kepada pekerja asing pada tahap yang keterlaluan adalah sesuatu yang tidak baik.
Saiz pekerja asing yang besar bermakna pengaliran keluar wang sudah pasti deras. Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial dan budaya ke atas corak yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat tempatan.
Sektor-sektor tertentu seperti pembuatan perlu bergerak lebih pantas ke arah pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh dengan peningkatan teknologi sebagai ganti.
Bagi Awang, kemasukan pekerja asing ke negara kita perlu dirasionalkan berdasarkan keperluan yang kritikal bagi sektor tertentu kerana kekurangan pekerja tempatan yang layak. Kemasukan pegawai perubatan sebagai contoh adalah keperluan. Begitu juga para profesional lain dalam beberapa sektor yang kita anggap kritikal.
Justeru rancangan kerajaan untuk menaikkan kadar levi pekerja asing mengikut sektor amat wajar dalam konteks untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
Yang pasti, kita lebih memerlukan tenaga kerja asing yang berkualiti, berkelayakan dan berkemahiran bagi sektor-sektor yang keperluannya mendesak sahaja.
Friday, May 7, 2010
Warga asing bikin onar
asmah@hmetro.com.my
2010/05/07
PETALING JAYA: Lambakan warga asing di kawasan perumahan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, bukan saja mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk, tetapi turut mencemarkan suasana.
Ketua keselamatan blok, Najmuddin Omar, berkata pihaknya sudah berusaha untuk menangani masalah terbabit bagi memastikan warga asing itu berpindah namun usaha berkenaan hanya sia-sia.
“Sebelum ini, kami sudah bermesyuarat bersama persatuan penduduk bagi membincangkan masalah ini sebelum berlaku kejadian tidak diingini.
“Namun, usaha kami ternyata tidak berhasil ekoran sikap ahli jawatankuasa sendiri yang mengambil mudah masalah ini, tambahan pula, ia tidak berlaku di semua blok,” katanya.
Najmuddin berkata, kehadiran warga asing di situ turut menjejaskan tahap kebersihan blok berikutan perbuatan mereka yang suka membuang sampah di atas tangga yang menjadi laluan penghuni.
“Saya bukan mahu menuduh, tetapi sejak pertambahan warga asing di blok kami, kejadian jenayah semakin berleluasa termasuklah kes pecah rumah dan curi kenderaan.
“Bahkan, tahap kebersihan blok juga semakin kritikal ekoran tindakan mereka yang membuang sampah di tangga tanpa mempedulikan arahan yang dikeluarkan ketua blok,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Nik Abdullah Nik Man, 41, berkata dia bimbang kehadiran pendatang asing yang kian bertambah saban hari mengancam keselamatan penduduk pangsapuri terbabit.
“Sebelum ini, jumlah pendatang asing yang tinggal di kawasan pangsapuri ini hanya sedikit berbanding sekarang ia bertambah secara mendadak malah, datang dari pelbagai negara.
“Kami tidak menghalang mereka untuk menyewa, tetapi sikap kurang sopan dan tidak menghormati budaya masyarakat tempatan mengundang perasaan tidak selesa kepada kami,” katanya.
Nik Abdullah turut mendakwa pendatang asing berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan sering bergerak secara berkumpulan sama ada melepak di kawasan tempat duduk yang disediakan atau merayau di kawasan sekitar.
Bukan itu saja, katanya, terdapat sesetengah daripada mereka yang mengambil minuman keras dan mencampakkan botol arak ke tingkat bawah melalui tingkap.
Friday, April 23, 2010
Limbang sarang penyeludupan manusia
borhan.samah@utusan.com.my
| |
| MARY mengesat air mata sambil menceritakan pengalaman menakutkan dipaksa menjadi pelacur. |
JAKARTA 23 April - Pihak berkuasa Indonesia mendedahkan kawasan Limbang yang terletak di utara Sarawak kini menjadi sarang penyeludupan manusia khususnya dari Indonesia.
Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia, Kementerian Luar Negeri Indonesia, Teguh Wardoyo berkata, perkara itu terbongkar apabila Polis Republik Indonesia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamat seorang gadis berusia 16 tahun yang diseludup ke kawasan berkenaan.
"Gadis berkenaan diselamatkan selepas selama lima bulan dipaksa menjadi pelacur di Limbang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Pada mulanya, kata beliau, seorang lelaki datang ke kampung gadis berkenaan di Indramayu di Pulau Jawa dan menawarkan pekerjaan di restoran dengan gaji yang lumayan sehingga RM5,000 sebulan.
Tertarik dengan gaji yang lumayan, katanya, keluarga gadis berkenaan membenarkan dia dibawa ke Limbang walaupun usianya baru 16 tahun.
Bagi membolehkan gadis itu bekerja, jelas Teguh, sindiket berkenaan telah memalsukan kad pengenalan gadis terbabit yang dikenali sebagai Mary.
"Pada kad pengenalan palsu itu tertera Mary, tiga tahun lebih tua daripada usia sebenarnya," katanya.
Sementara itu, Mary ketika ditemui berkata, sebaik tiba di Limbang dia dipaksa bekerja di sebuah kelab malam dan dipaksa menjadi pelacur.
"Setelah menyedari saya ditipu, saya menghubungi keluarga di Indramayu, yang kemudiannya melaporkannya kepada polis," katanya.
Menurut Mary, sepanjang lima bulan di Limbang pengalaman cukup menakutkan kerana dia bersama kira-kira 10 orang lain yang juga rakyat Indonesia dikawal ketat oleh para pekerja sindiket tersebut.
"Saya dipaksa melayan pelanggan, jika enggan berbuat demikian saya akan dipukul. Oleh kerana tidak tahan saya melarikan diri dan mendapat bantuan daripada masyarakat setempat.
"Saya bersembunyi di sana sehingga diselamatkan oleh polis," katanya. - Utusan
Tiga wanita Vietnam diselamatkan
| |
| Rasidah Ismail (kanan), bertanyakan sesuatu kepada wanita warga Vietnam yang dijadikan mangsa kes pemerdagangan manusia di Putrajaya, semalam. |
PUTRAJAYA 23 April - Tindakan nekad tiga wanita warga Vietnam mendapatkan bantuan seorang pemandu teksi supaya membawa mereka ke Ibu Pejabat Imigresen di sini semalam, berjaya membongkar satu sindiket kegiatan pemerdagangan manusia.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, James Musa Singa berkata, ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun itu melaporkan diperangkap oleh satu sindiket yang memaksa mereka melacur.
Susulan laporan itu, kata beliau, pihaknya menyerbu sebuah rumah murah dan kondominium di sekitar Cheras sebelum menahan tiga suspek iaitu dua wanita warga Vietnam berumur 20 dan 28 tahun serta seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.
"Kira-kira pukul 3.30 petang semalam, kami didatangi tiga mangsa terbabit yang mendakwa mereka pada mulanya dijanjikan kerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke tetapi kemudian dipaksa menjadi pelacur.
"Kami tidak menolak sindiket ini ada kaitan dengan satu sindiket lebih besar di peringkat antarabangsa. Kesemua suspek akan didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM150,000," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Rasidah Ismail.
James berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menyelamatkan 13 orang mangsa yang diperdaya dalam kes pemerdagangan manusia, kebanyakannya berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
"Seramai 11 suspek masing-masing lapan rakyat tempatan, dua Vietnam dan seorang warga Singapura berjaya ditahan. Semua kes masih dalam siasatan," katanya.
17 kes jenayah, 43 tangkapan libatkan pelajar asing 2009
KUALA LUMPUR 3 Mei – Sebanyak 17 kes jenayah dan 43 tangkapan melibatkan penuntut asing dicatat di negara ini sepanjang tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula terdapat 14 kes yang melibatkan 22 tangkapan.
"Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan indeks jenayah pada tahun lepas yang berjumlah 209,417 itu, kes yang melibatkan pelajar asing adalah sebanyak 0.008 peratus sahaja. Manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, jumlah indeks jenayah adalah 45,805 kes dengan 0.03 peratus melibatkan pelajar asing,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah statistik kes jenayah di negara ini yang melibatkan penuntut antarabangsa dan apakah tindakan kerajaan terhadap penuntut yang terlibat.
Abu Seman berkata, polis sentiasa melakukan pemantauan terhadap penuntut asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen. – Bernama
Tuesday, April 13, 2010
JUMLAH PEKERJA ASING MENINGKAT 1.8 JUTA ORANG!
Had pekerja asing kepada 1.5 juta
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 13 April – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing ketika ini didapati meningkat kepada 1.8 juta orang ekoran pemulihan sektor industri.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini. Terdahulu, kedua-dua menteri itu mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan pada 23 Mac lalu.
Makmal tersebut melibatkan 14 kementerian, 11 agensi dan kira-kira 30 organisasi majikan serta pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing.
Berdasarkan statistik, daripada 1.8 juta pekerja asing di negara ini, jumlah tertinggi adalah dari Indonesia (50.9 peratus) diikuti Bangladesh (17.4 peratus), Nepal (9.7 peratus), Myanmar (7.8 peratus), India (6.3 peratus) dan Vietnam (4.2 peratus).
Sebanyak 39 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan (19 peratus), perladangan (14 peratus), pembantu rumah (12 peratus), perkhidmatan (10 peratus) dan pertanian (sembilan peratus)
1.92j pekerja asing yang sah setakat 31 Disember 2009
KUALA LUMPUR 3 Mei – Lebih 1.92 juta pekerja asing yang sah berada di negara ini sehingga 31 Disember tahun lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah yang direkod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia.
Beliau berkata, daripada 1,918,146 pekerja asing itu, Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang, diikuti Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).
Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir. Zamri Yusuf mengenai statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing berpermit ke negara ini pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan PATI kerana kemasukan golongan itu adalah tidak sah dan tidak direkod oleh mana-mana agensi.
"Bagaimanapun kerajaan menganggarkan pada masa ini terdapat seramai 1.9 juta pendatang tanpa izin iaitu berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah terdapat seorang pendatang tanpa izin,” katanya. – Bernama
Saturday, April 10, 2010
Warga asing bolot tapak pasar
PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.
“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.
Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.
“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.
“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
03/05/2010 Utusan
Penempatan baru pendatang asing diserbu
KUALA LUMPUR 2 Mei - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lari daripada serbuan pihak berkuasa telah membina penempatan baru di atas bukit berhampiran tapak pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta di sini.
Mereka yang dikatakan terdiri daripada 40 orang warga Indonesia dan Bangladesh dipercayai membina penempatan baru itu setelah tempat persembunyian mereka di kawasan hutan Bukit Segambut diserbu pada 11 Mac lalu.
Polis yang meneruskan usaha memburu pendatang asing terbabit menemui sejumlah 20 buah khemah kanvas yang dibina di kawasan tapak pembinaan Istana Negara itu awal pagi semalam.
Dipercayai kumpulan pendatang asing itu sudah mula menduduki kawasan penempatan haram tersebut sejak lebih sebulan lalu.
Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, kesemua PATI terbabit bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan istana baru di bawah bukit di kawasan itu.
Bertindak daripada maklumat tersebut, polis menyerbu kawasan penempatan pendatang asing itu kira-kira pukul 3 pagi semalam.
"Serbuan dilakukan oleh 31 anggota polis dari Balai Polis Travers ketika penghuni penempatan terbabit sedang nyenyak tidur.
"Bagaimanapun, kehadiran polis berjaya dihidu oleh mereka menyebabkan ramai yang sempat melarikan diri," kata sumber itu.
Beliau memberitahu, hanya 13 PATI iaitu tujuh warga Indonesia dan enam Bangladesh berjaya diberkas.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan 30-an didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurut sumber itu, PATI terbabit hanya menjadikan khemah-khemah itu sebagai tempat tidur pada waktu malam dan keluar bekerja pada waktu siang.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Warga asing galak berniaga
2010/05/03 metro
SEBAGAI rakyat Malaysia, saya terpanggil untuk memaklumkan mengenai kegiatan warga asing membuka perniagaan menjual barangan runcit secara haram di Segambut Dalam.
Sudah pasti peniaga haram yang mendirikan kedai di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas di Jalan Segambut Dalam itu tidak membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti diwajibkan kepada rakyat Malaysia.
Selain itu juga apa yang saya perhatikan pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan Rela ada menjalankan operasi terhadap warga asing di Segambut Dalam, tetapi yang menimbulkan tanda tanya setiap kali operasi diadakan keadaan di Segambut Dalam sunyi tanpa rakyat asing seolah-olah mereka sudah dimaklumkan mengenai operasi berkenaan.
Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan, kami penduduk di Segambut Dalam berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga haram warga asing di kawasan itu dengan segera.
2010/04/10 BERITA HARIAN
Friday, April 9, 2010
| Ustaz Idris Ahmad |
| PAS mendesak kerajaan agar mengambil langkah serius dalam menangani gejala pendatang haram yang tinggal lebih masa di kalangan warganegara asing. Penyalahgunaan visa waktu ketibaan (arrival visa) bukanlah isu baru. Telah banyak penyalahgunaan visa ketibaan dilaporkan melibatkan warga negara India, China, Nepal dan Nigeria di dalam negara, namun PAS tidak melihat kesungguhan kerajaan dalam hal ini. Di sekitar Kuala Lumpur sahaja, kita boleh melihat begitu ramai warga negara asing yang tinggal secara haram. Kebanyakan rakyat India yang berada lebih masa di negara ini dilaporkan bekerja secara haram di restoran, kedai gunting rambut, ladang dan pasar-pasar borong. Rakyat China pula, terutamanya kalangan kaum wanita banyak bekerja secara haram di pusat-pusat hiburan sebagai teman sosial dan juga pekerja seks. Rakyat Nepal pula didapati begitu banyak bekerja secara haram di kawasan pasar borong dan juga pasar-pasar malam yang dahulunya dikuasai oleh warga Bangladesh. Manakala rakyat Nigeria pula kebanyakan tinggal melebihi masa dan menjual barangan tiruan serta melakukan jenayah bagi menyara kehidupan. Kehadiran mereka tanpa dikesan oleh pihak Jabatan Imigresen ini adalah satu ancaman kepada masyarakat. Keselamatan rakyat dan peningkatkan jenayah sosial menjadi prioriti dalam usaha membanteras pendatang haram ini. Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak tahu di mana 39,046 warga negara India yang dilaporkan ‘hilang’ di Malaysia menjelaskan lagi sikap ketidakbertanggungjawaban kerajaan. Memang malang jika Perdana Menteri juga tidak tahu, kerana beliau memiliki seluruh jentera kerajaan untuk memberitahunya. Dulu semasa kes Altantuya, beliau dan imigresen juga tidak tahu. Malah rekod kemasukan Altantuya juga tiada, tetapi akhirnya negara kecoh Altantuya dibunuh mengunakan C4 di Shah Alam. Ramai warganegara asing di negara ini, tetapi kerajaan tidak tahu apa-apa. Ini adalah satu misteri yang belum terjawab. Oleh PAS, mahu kerajaan mengambil pendekatan yang tegas dengan menghapuskan visa ketibaan ini dan menggantikannya dengan visa pelancong atau pelajar. PAS juga mahu pihak imigresen menggiatkan operasi memburu pendatang haram ini di samping memperbaiki sistem rekod kemasukan warga negara asing di negara ini. Rekod-rekod kehadiran warga negara asing ini seperti di mana mereka tinggal dan apa tujuan mereka memasuki negara ini wajar diambil perhatian serta disemak setiap kali tempohnya telah tamat dengan mengadakan lawatan ke premis-premis yang telah dinyatakan oleh mereka semasa memasuki negara ini. Kerjasama semua pihak termasuk rakyat juga amat perlu bagi mengurangkan beban kemasukan pendatang haram ini dan kita mahu kerajaan menggunakan saluran diplomasi tetapi tegas dalam menangani isu ini kerana hingga ke hari belum ada rekod yang menunjukkan kesan pemulihan terhadap isu ini. Ustaz Idris Ahmad Ketua Penerangan PAS Pusat |
Thursday, April 1, 2010
ISU PEKERJA ASING DAN PATI
Putaran ganas
Tidak lama dahulu, jika tidak silap Awang, Kabinet telah mengambil keputusan atas dasar untuk mengelakkan kebanjiran pekerja asing. Mengapa pula perlu melanggar dasar?
Jumlah 100,000 pekerja asing bukanlah kecil. Apakah itu formula terbaik? Apakah sudah cukup langkah mikro yang kita ambil untuk menangani permasalahan sebenar? Banyak persoalan yang berlegar berhubung isu tersebut. Hari ini, jumlah pekerja asing yang tinggal lebih masa dan kemudian hilang meresapi kehidupan masyarakat, adalah ratusan ribu orang. Itu cukup luar biasa bagi negara kecil seperti Malaysia.
Dalam kita memperakukan sumbangan pekerja asing, kita perlu lebih mendukung kepentingan rakyat tempatan sebagai sumber tenaga kerja. Menolehlah ke kiri kanan kita di merata pelosok, betapa ramai warga asing. Dari pengawal keselamatan dan pekerja binaan hinggalah kepada pelbagai jenis pekerjaan yang sepatutnya dikuasai pekerja tempatan. Alasan yang selalu dijaja ialah sukar mendapatkan pekerja tempatan. Mungkin ada kebenaran tetapi faktor utama ialah manipulasi pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan sama ada agensi pekerja mahupun majikan.
Bercakap tentang lambakan pekerja asing selalunya mengundang keresahan, kemarahan dan kerap terpacul kata-kata sinikal di kalangan rakyat. Awang sedih kerana ramai anak muda yang masih sukar mendapat pekerjaan yang peluang mereka tertutup kerana lambakan pekerja asing.
Ia mewujudkan putaran ganas yang akan memberikan kesan buruk kepada kebajikan rakyat. Walaupun kerajaan komited dan berusaha melakukan banyak penambahbaikkan untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi ia belum memberi impak selagi kita membenarkan putaran ganas itu terus berlaku.
Pendatang asing bakal timbulkan masalah kepada semua
KUALA LUMPUR, 24 Okt: Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) sendiri kini bangkit membantah kedatangan yang terlalu berlelusasa para pekerja asing ke negara ini selepas lain-lain pihak membangkitkannya sebelum ini. Ini berikutan dari kedatangan mereka yang terlalu ramai sehingga penduduk tempatan terpaksa berebut peluang dengan mereka.
Ramai tidak bimbang dengan orang Indonesia, Bangladesh atau Myanmar tetapi ramai orang Melayu yang bimbang pandatang asing dari China dan India.
ULASAN:
YA, kemasukkan pekerja asing ini telah menyebabkan orang-orang tempatan hilang kerja terutamanya di sektor perkilangan dan perladangan dimana pekerja-pekerja tempatan dibuang sesuka hatinya oleh majikan-majikan kerana pekerja asing boleh dibayar dengan gaji yang lebih murah.
Disektor kawalan keselamatan pula, pekerja asing dari Nepal sebakiknya diutamakan dan dibayar gaji yang lebih kerana mereka boleh diperhambakan sesuka hatinya oleh majikan.
Manakala dalam bidang perniagaan, pula pendatang dari Indonesia dah mengambil tempat-tempat perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang Melayu. Manakala pekerja asing dari India pula meamasukki sektor perkilangan, dan perniagaan kedai makan.